Penyambung rezeki nelayan Bugis
>> Isnin, 21 Disember 2009
Penyambung rezeki nelayan Bugis
TRADISI masyarakat etnik Bugis di Sabah mengusahakan kelong atau bagang bukan setakat terhad pada bagang jongkong mudah alih. Bagi pengusaha bagang tetap di pantai Kimanis, dekat Papar, perusahaan berkenaan diwarisi dari nenek moyang mereka sejak 1970-an.
Bagi Mokhtar Alimani, 50, sejak mengusahakan bagang kira-kira 10 tahun lalu, ia adalah sumber rezeki utama keluarganya. Dengan hasil jualan bilis dan pelbagai jenis ikan itulah, Mokhtar mampu memastikan kesinambungan kehidupan keluarganya.
Namun, berbeza dengan bagang mudah alih yang menggunakan jongkong atau bot besar di Teluk Darvel, Laut Sulawesi di pantai timur Sabah, operasi bagang tetap di pantai Kimanis di Laut China Selatan tidak memerlukan petrol pada jumlah yang banyak untuk menggerakkan jana kuasa buat menyinari lampu tempat bilis bermain.
Cukup dengan menggunakan lima liter petrol bagi menggerakkan jana kuasa kecil untuk menghidupkan lampu dan minyak tanah untuk menghidupkan dapur merebus bilis, Mokhtar sudah mampu memastikan bagang seluas 5x5 meter dan setinggi kira-kira lima meter dari muka laut memberikan pulangan memuaskan.
Pada ketika bulan gelap yang hanya boleh diukur ketentuan malamnya berdasarkan pusingan bulan Islam, Mokhtar yang dibantu anak saudaranya, Hendra Gunawan dan seorang anak jirannya Iwan Ismail yang masih bersekolah dalam tingkatan tiga, akan menurunkan pukat bermata halus sebelum mentari terbenam kira-kira jam 6 petang.
Dengan membiarkan sebiji lampu bersinar sepanjang malam sebagai penarik kehadiran bilis dan pelbagai jenis ikan yang lain, udang serta sotong, Mokhtar dan pembantunya mengisi waktu yang terluang dengan memancing.
Setiap kali pukat ditarik naik sebelum mentari terbit kira-kira jam 6 pagi, Mokhtar dan pembantunya akan mengasingkan bilis mengikut gred tertentu daripada gred A hinggalah gred C. Bilis berkenaan harus terus direbus segera dalam periuk yang dibakar dengan menggunakan dapur minyak gas.
Bilis yang dibawa pulang ke rumah harus dijemur seharian sebelum dijual pada harga antara RM6 hingga RM12 mengikut gred. Selain itu, ikan yang dikail dijual di kedai pekan Kimanis.
Namun pada ketika ribut melanda, Mokhtar dan pembantunya tidak mampu berpatah kembali ke daratan, selain menyerahkan ketentuan nasib kepada Yang Maha Khaliq.
0 ulasan:
Catat Ulasan