Agensi Malaysia dan Indonesia cari jalan kurangkan kos ambil pekerja
>> Isnin, 1 Mac 2010
JAKARTA — Agensi-agensi pekerja asing Indonesia dan Malaysia hari ini sepakat untuk mencari jalan bagi mengurangkan kos pengambilan pekerja Indonesia ke Malaysia dalam usaha mengurangkan beban kepada pekerja dan majikan. Kesepakatan ini dicapai dalam satu perjumpaan di Kedutaan Besar Malaysia di sini selepas kedua-dua pihak membentangkan struktur kos bagi pengambilan tenaga kerja Indonesia untuk dihantar ke Malaysia, yang didapati melibatkan perbelanjaan berjumlah RM6,100. Perjumpaan yang diatur atas inisiatif Kedutaan Besar Malaysia di sini, membabitkan penyertaan 55 orang, yang mewakili Assosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (Apjati), Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (PJTKI), Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) serta agensi-agensi pekerja asing di Indonesia. Dalam perbincangan yang dipengerusikan oleh Duta Besar Malaysia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan itu, agensi pekerja asing di kedua-dua belah pihak menyatakan kesediaan untuk melihat bagaimana kos itu dapat dikurangkan. Selain kos tetap yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia dan Malaysia mengikut keperluan undang-undang dan peraturan, kos-kos lain seperti kos latihan dan kos penajaan didapati terlalu tinggi sehingga menyebabkan kos pengambilan pekerja itu menjadi besar. - Bernama Nota:Sumber berita dipetik dari kosmo onlineTERKINI
Agensi Malaysia dan Indonesia cari jalan kurangkan kos ambil pekerja