Wanita Islam Antara Dua Sempadan
>> Isnin, 19 Julai 2010
UMUMNYA wanita Islam hari ini terperangkap dalam dua sempadan budaya yang bertentangan - sempadan tradisi yang serba terkongkong dan sempadan budaya Barat yang bebas tanpa batas. Pihak yang berjuang untuk membebaskan wanita, berusaha mengeluarkan wanita Islam dan kongkongan tradisi itu kepada kehidupan bebas wanita Barat. Mereka yang berusaha menyelamatkan wanita Islam daripada khayalan dan kebebasan palsu Barat pula berusaha supaya wanita kekal dalam kongkongan budaya tradisi.
MOHD NAKHAIE AHMAD berpendapat kedua-duanya gagal menemui jalan Islam yang membebaskan wanita secara mutlak. Ikuti bahagian pertama tulisannya.
PEJUANG pembebasan wanita Islam yang terpengaruh dengan gerakan pembebasan wanita Barat, mempunyai tanggapan keadaan yang dialami wanita Islam kini disebabkan keadaan tradisi yang dibentuk oleh Islam. Mereka tidak sedar dan tidak mahu menyedari yang keadaan itu sebenarnya adalah penyelewengan daripada ajaran Islam. Apabila mereka berjuang membawa wanita Islam ke arah pembebasan yang diperjuangkan wanita Barat, mereka sebenarnya sedang membebaskan wanita Islam daripada cengkaman mulut harimau untuk memasuki rahang buaya.
Kalangan yang berusaha menyelamatkan wanita Islam daripada dipengaruhi budaya Barat mengurung wanita mereka dalam rumah dan menafikan segala hak dan kebebasan wanita. Mereka menjadikan wanita seolah-olah hamba abdi. Peranan wanita bagi golongan ini hanya untuk memberikan khidmat seks kepada lelaki. Shaik Mohammad al-Ghazali dan Shaikh Yusuf Qardhawi menceritakan bagaimana seorang khatib berbicara dalam khutbahnya bahawa wanita Islam kononnya, tidak boleh keluar seumur hidupnya kecuali tiga kali: Pertama pada hari ia keluar dari perut ibunya ke dunia; kedua ialah dari rumah ibu bapanya ke rumah suaminya dan ketiga dari rumah suaminya ke kubur.Zana dan Nadia Muhsin ialah dua gadis yang lahir ke dunia hasil perkongsian hidup tanpa nikah antara Muthanna Muhsin dan Mariam.
Muthanna seorang imigran dari Yaman yang beragama Islam. Mariam ialah seorang berketurunan campuran Pakistani dan Inggeris. Bapanya berbangsa
Keluarga ini dari benih Islam. Tetapi sudah tidak menghiraukan lagi cara hidup Islam. Mereka mengamalkan budaya Barat dan hidup bebas tanpa ikatan luhur. Mereka tidak lagi dapat ditampilkan sebagai orang Islam dari segi budaya hidup. Kehidupan mereka penuh dengan pergolakan dan krisis. Mariam dengan kehidupan cara Baratnya. Muthanna, meskipun tidak lagi mematuhi agamanya, tetapi masih berpegang kepada tradisi kampung di Yaman yang percaya bahawa salah satu daripada sifat kelakian itu ialah tidak memberi muka kepada wanita. Wanita mestilah tunduk kepada keinginan lelaki dan patuh kepada suami, walau apapun keadaan dan kehendak suami itu. Dua budaya dan tradisi bertentangan bertembung di pentas dunia yang menghadapi kemelut nilai yang serius. Kemelut yang menggambarkan bagaimana sebahagian orang Islam terperangkap dalam kongkongan tradisi dan kehidupan yang berkecai dalam kebebasan tanpa batas.
Muthanna merasakan hidup anak-anaknya di England tidak begitu sesuai dengan sifat kelakian dan budaya bangsanya, mengatur perkahwinan anaknya dengan orang di kampungnya di Yaman. Ini dilakukan tanpa pengetahuan si ibu. Secara berkomplot ia berjaya menghantar anaknya yang pertama Ahmad dan adiknya Laila ke Yaman. Kemudian, dengan cara yang sama, ia mengatur perkahwinan Zana dan Nadia dengan anak kawannya di kampung asal mereka di Yaman. Kawannya itu adalah imigran sepertinya yang mempunyai anak di kampung masing-masing.
Zana menceritakan bagaimana penindasan yang berlaku ke atas dirinya dan wanita Islam di kampung tempat mereka tinggal di Yaman dalam buku The Sold. Penindasan itu berlaku dalam tradisi masyarakat Arab yang tidak ada kaitan dengan Islam, kecuali mereka beragama Islam. Penindasan yang menimpa wanita Islam itu hampir menyamai penindasan yang berlaku ke atas wanita di zaman Jahiliah yang kemudiannya dibebaskan oleh Islam. Apakah keadaan yang berlaku itu menunjukkan cara hidup Jahiliah kembali semula menguasai sebahagian masyarakat Islam di negara seperti Yaman itu? Atau penulis keterlaluan dalam memberikan gambaran mengenai kehidu pan wanita Islam di desa di Yaman itu.
Keadaan yang sama berlaku kepada Tehmena Durrani seperti yang dipaparkan dalam My Feudal Lord, Samihah dalam The Princess, Betty Mahmoodi dalam Not Without My Daughter dan lain-lain. Wanita Islam yang terbabit melihat di depan mereka hanya dua sempadan iaitu tradisi yang serba terkongkong dan cara hidup Barat yang serba bebas. Jika mereka inginkan kebebasan mereka mesti meninggalkan kehidupan tradisi dan memasuki sempadan kehidupan Barat. Tiada lagi jalan lain untuk dipilih. Bagaimanapun wanita ini tidak boleh dianggap mewakili wanita Islam yang sebenar kerana mereka tidak memahami Islam dan tidak beramal dengan cara hidup Islam sebenar. Demikian juga lelaki yang terbabit dalam kisah mereka tidak dapat mewakili lelaki Islam, kerana jahil dan tidak menghayati ajaran Islam.
Tehmena Durrani tidak boleh mewakili wanita Islam kerana mengkhianati suaminya yang asyik memburu kejayaan dan terlalu mempercayai keikhlasan isterinya. Tehmena tidak menghiraukan dosa dan pahala untuk mencari lelaki impian dan mengejar lelaki glamour yang bernama Mustafa Kar, seorang ahli politik dan orang kanan Zulfikar Ali Butto. Mustafa Kar yang menjadi pasangan Tehmena, tidak boleh dijadikan contoh lelaki Islam, kerana sifat kejamnya terhadap wanita dan melakukan maksiat dan mungkar yang tidak layak, walaupun untuk menjadi seorang khadam, dalam kehidupan Islam yang sebenar. Begitu juga Muthanna Muhsin dan Mariam, tidak boleh mewakili lelaki dan wanita Muslim, kerana tidak menghayati kebudayaan Islam, sebaliknya hidup mengikut kebudayaan dan cara hidup Barat yang permisiveness.
Tetapi orang seperti Mustafa Kar, Muthanna Muhsin dan yang seumpama mereka, ditonjolkan sebagai lelaki Islam dan wanita seperti Tehmena ditonjolkan sebagai wanita Islam. Keburukan mereka dilabelkan sebagai keburukan Islam dan kezaliman mereka digambarkan sebagai kezaliman Islam. Kepincangan budaya tradisi masyarakat mereka digambarkan sebagai kepincangan budaya Islam. Beginilah Islam menjadi mangsa kepada serangan yang tidak adil akibat kepincangan akhlak dan penyelewengan pemeluknya yang tidak lagi menghiraukan ajaran agama yang mereka anuti. Keadaan yang memburukkan nasib wanita sekali gus memburukkan imej Islam. Kerana itu, pembebasan wanita mestilah menjadi salah satu agenda penting dalam perjuangan membangun semula sistem Islam. Umat Islam mesti dibebaskan daripada mulut harimau dan rahang buaya. Ia mestilah bebas di daratan luas yang disediakan oleh Islam.
Sumber: (Dipetik dari Berita Harian Online Oktober 7, 1997)
Read more...