Kami dihujani lebih 200 peluru'
>> Isnin, 28 Disember 2009
KUALA TERENGGANU - "Ingatkan kami sudah tidak ada harapan untuk hidup lagi tetapi syukur Alhamdulillah, nyawa kami masih panjang." Demikian luah empat nelayan dari Kampung Baru Sebarang Takir dekat sini, iaitu Musa Mahammad, 33, Mohd. Arif Rosli, 20, Akhmadi Daud, 28 dan Ahmad Faizul Sulong, 23, ketika mereka ditahan penguat kuasa Indonesia pada 10 November tahun lalu kerana didakwa menceroboh perairan negara itu. "Bot kami dihujani lebih 200 peluru ketika terserempak dengan pihak berkuasa Indonesia ketika sedang menangkap ikan di sempadan Malaysia-Indonesia dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi hari tersebut," dakwa Musa. Menurut Musa, ketika itu, bot mereka dikejar pihak berkuasa negara tersebut selama kira-kira 15 minit dan mereka sudah mula membayangkan ajal apabila mereka tidak mampu berbuat apa-apa selain cuba melarikan diri. "Ketika itu kami ditembak bertalu-talu dan kami hampir putus harapan dan hanya berserah selepas bot kami berjaya dipintas dan dihimpit," katanya. Beliau ditemui bersama tiga rakannya ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud malam semalam selepas mereka dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia dari pusat tahanan di Pontianak, Kalimantan, Indonesia. Bagaimanapun, satu-satunya mangsa yang terkena tembakan dalam kejadian tersebut iaitu tekong bot itu, Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, masih ditahan di pusat tersebut menanti hari perbicaraan yang dijangka berlangsung 8 Januari ini.'Kami dihujani lebih 200 peluru'