Penunggu hutan Keningau
>> Ahad, 27 Disember 2009
Legenda Tombiruo dan Rogon masih popular di Sabah. SEMASA Amiruddin mendengar berita sebuah jet peribadi terhempas di hutan Keningau, Sabah, memorinya segera terbayangkan Wan Suraya, kekasihnya. Gadis itu ialah antara mangsa yang terlibat. Dengan seorang rakan, Amiruddin bergegas ke tempat tragedi. Saudaranya yang tinggal di hutan juga dihubungi secara psikik untuk turut membantu. Dalam pada itu, sejenis makhluk aneh berkeliaran di hutan tersebut. Rogon amat digeruni oleh penduduk di pedalaman. Raungannya sahaja boleh mengecutkan perut. Bila ia menerjah, mangsa hanya mampu pasrah menanti ajal. Rogon juga tercium bau manusia di hutan sekitar tempat terhempasnya jet itu. Amiruddin atau Rogonkah yang lebih dahulu menemui Wan Suraya? Rogon tersebut ialah salah satu watak dalam novel seram, Semangat Hutan karya penulis prolifik kelahiran Papar, Ramlee Awang Murshid. Latar belakang novel itu mengambil tempat di hutan Keningau yang sememangnya terkenal dengan cerita-cerita misteri penunggu hutan. Bagi etnik Kadazandusun di Sabah khususnya yang tinggal berdekatan hutan Keningau hingga sempadan Sandakan, semangat hutan itu akan terus ada dalam kehidupan mereka. Dan kerana tingginya semangat hutan yang dipercayai menjaga keamanan hutan Keningau, Ramlee menukilkan mengenai Rogon dan satu lagi makhluk hodoh, Tombiruo dalam novel-novelnya. Imaginasi “Entiti Tombiruo dan Rogon adalah simbolik kepada unsur kebaikan dan kejahatan yang ada di dalam hutan. “Secara tidak langsung, entiti ini juga membuka minda kita agar lebih menghormati hutan, tetapi bukan menyembahnya,” tegas beliau. Ramlee memberitahu, Tombiruo, seperti yang digambarkan dalam novelnya dengan tajuk yang sama, merujuk kepada hantu hutan atau mahkluk hodoh yang mendiami belantara. “Entiti ini lebih bersifat pelindung. Ia melindungi hutan daripada dimusnahkan oleh manusia yang berniat jahat. “Orang dahulu juga menggambarkan Tombiruo sebagai berwajah buruk dan sesiapa yang terserempak dengan semangat ini akan ditimpa sial,” jelas Ramlee. Rogon pula dari pandangan Ramlee dan cerita lama yang dikutip daripada pelbagai sumber, lebih bersifat kejam. Ia lebih bersifat kebinatangan berbanding Tombiruo. Semangat hutan itu turut dikaitkan dengan insiden kehilangan individu di hutan Sandakan yang sehingga kini masih belum terjawab. “Ia berlaku sekitar lewat 1980-an. Hutan Sandakan yang bersempadan dengan hutan Keningau gempar apabila individu tersebut dilaporkan hilang secara misteri. “Walaupun dijejaki menggunakan anjing pengesan, mangsa gagal ditemui. Yang membingungkan, anjing itu beberapa kali mengelilingi sebatang pokok,” cerita Ramlee. Di situlah, mereka menjumpai tinggalan tulang manusia dan beberapa helai pakaian yang dilipat kemas. Sejak itu, pelbagai spekulasi timbul termasuk ada yang mendakwa ia angkara semangat hutan ataupun manusia kanibal. Bagi masyarakat Kadazandusun yang amat menghormati hutan, kata Ramlee, kejadian seumpama itu dipercayai berlaku kerana niat manusia yang mahu merosakkan kesucian hutan. “Jadi, semangat hutan ini, kemungkinan Tombiruo atau Rogon, melakukan sesuatu untuk melindungi hutan yang menjadi tempat tinggalnya,” ungkapnya. Jelas beliau, biarpun apa yang dinukilkan di dalam novel-novelnya itu disulam dengan elemen fiksyen dan imaginasi, Ramlee percaya hutan adalah kawasan yang penuh dengan pantang larang. “Kita tidak akan tahu siapa atau apa yang berada di dalamnya. Dan seringkali kita terlupa terdapat satu lagi ‘alam’ yang perlu dihormati,” katanya. Kayu ara Baru-baru ini, satu lagi insiden mengejutkan penduduk daerah itu. Makhluk berkepala besar tanpa kaki dan tangan ditemui di Kampung Kapayan Baru dekat Keningau. “Ia benar-benar wujud dan menakutkan – akui Rapail Igau, 49, seperti dipetik New Sabah Times. Rapail yang merupakan seorang kakitangan Yayasan Sabah memberitahu, beliau tanpa sengaja merakam gambar makhluk halus itu menggunakan kamera telefon bimbit pada 21 Oktober lepas. Imej yang didakwa makhluk halus itu juga telah diuji ketulenannya. Menurut Rapail, pada petang kejadian beliau melawat Empangan Pengairan Kampung Kapayan Baru yang baru sahaja siap dibina sambil ditemani seekor anjing belaannya. Katanya, beliau merakam beberapa sudut empangan tersebut untuk tujuan dokumentasi, tetapi tidak menyangka sekeping daripada kira-kira 20 rakaman menghasilkan imej seperti manusia berkepala ganjil tanpa kaki dan tangan duduk di atas leher anjingnya. Kira-kira satu meter dari tempat anjingnya berdiri pula, terdapat sebatang pokok ara yang dikatakan telah wujud sejak tahun 60-an lagi. Pokok itu sejak sekian lama diketahui oleh penduduk kampung itu sebagai berpenunggu. Empangan air itu dibina bagi menggantikan empangan konvensional atau dikenali sebagai kinalian untuk kemudahan pengairan kepada ratusan pesawah di kampung itu. Sejak awal tahun 60-an, kawasan itu terkenal sebagai berpenunggu dan setiap kali penduduk membaiki empangan kinalian, upacara pen- yembahan dilakukan bagi mengelak gangguan makhluk halus. Rapail memberitahu, nenek moyang mereka akan menyembelih ayam putih atau babi sebelum aktiviti gotong-royong dijalankan bagi membaiki ampangan kinalian itu. Bagaimanapun katanya, habitat makhluk itu mungkin terganggu ekoran daripada projek pembinaan empangan moden itu. Kisah rakaman gambar penunggu hutan Rapail ini hanya akan memanjangkan lagi legenda Tombiruo dan Rogon di kalangan masyarakat Sabah. Nota:Dipetik dari berita kosmoPenunggu hutan Keningau